Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) turut senada dengan DAP supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau mendakwa, ini kerana sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh Kerajaan Pusat untuk beroperasi.

Jelas beliau, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan sahaja daripada syarikat-syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

“Kalau tak mahu sekolah aliran Cina ini terima dana, okay kita setuju, tapi kerajaan kena bagi dana yang mencukupi kepada sekolah-sekolah aliran ini.

“Kita pun simpati pada guru-guru dan pengetua sekolah aliran ini kerana mengutip dana sudah menjadi kerja tambahan buat mereka selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Dominic mengulas berhubung kontroversi derma daripada syarikat arak kepada sekolah yang dibantah banyak pihak kerana didakwa mempromosikan amalan tidak baik dalam kalangan pelajar selain bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pelajaran (KPM).

Malah, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak menjadi ‘Menteri Pendidikan Pas’ ekoran pendirian tegas KPM tidak membenarkan sekolah menerima dana daripada syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.

Dalam pada itu, Dominic turut menggesa isu tersebut tidak dipolitikkan atau dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya hanya usaha untuk menyediakan pendidikan yang terbaik untuk generasi muda.

Ditanya berkenaan pendirian Gerakan yang tidak selari dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam isu terbabit, Dominic berkata, beliau akan memberi penjelasan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) kelak dan berharap boleh diterima.

Kepada soalan dana syarikat arak itu melanggar moraliti rakyat, Dominic berkata, adalah keterlaluan untuk mengatakan para pelajar akan terdidik sebagai pemabuk hanya kerana derma daripada syarikat arak.

“Saya juga dari sekolah vernakular yang mendapat sumbangan derma daripada syarikat-syarikat arak, tetapi saya tidaklah sampai jadi kaki minum (pemabuk).

“Takkan lah hanya kerana satu logo syarikat arak diletakkan pada replika cek derma kepada sekolah, boleh mempengaruhi pelajar-pelajar untuk jadi kaki minum arak?” katanya. – MalaysiaGazette