Ibu mangsa bunuh, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, Hawa Osman,61 menunjukkan gambar anaknya selepas hadir mendengar perbicaraan rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR- Hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah tepat dan setimpal.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, biarpun kerajaan sudah menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah, namun hakim masih mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam kes-kes tertentu.

Tambahnya, MCPF tidak bersetuju dengan pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang membantah hukuman yang dikenakan terhadap enam pesalah dalam kes bunuh Zulfarhan itu.

“Sebahagian negeri di Amerika Syarikat (AS) masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh.

“Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya, perundangan dan amalan barat yang songsang dengan norma kehidupan manusia.

“Kita bukan seperti mereka. Kita boleh ikut dan bersetuju jika perkara itu sesuai dengan keperluan, masalah dan amalan kita. Kita negara beragama. Rukun Negara perlu menjadi asas dan rujukan dalam penggubalan, penambahbaikan perundangan, dasar serta amalan rasmi negara.

“Kita perlu melihat kepada semua perkara dan ubahsuai mengikut kepercayaan, adat dan budaya kita sendiri yang sedia unik dan pelbagai. “Mana yang baik dan sesuai kita contohi. Kita mesti sentiasa amalkannya dan berbangga dengan identiti dan keaslian yang ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ayub, Malaysia boleh mencontohi amalan negara-negara lain sepertiJepun, Singapura, India, China, Arab dan Indonesia asalkan bersesuian dengan keperluan, situasi, kepercayaan, budaya dan amalan negara.

Dalam pada itu, beliau beliau berkata, meskipun mereka masih boleh merayu hukuman ke Mahkamah Persekutuan, MCPF tetap merasakan tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan norma kehidupan manusia.

Tindakan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut kata beliau juga adalah sesuatu perbuatan diharamkan dalam Islam.

SUHAKAM sebelum ini meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha kearah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setuju dgn SUHAKAM..kita mesti adil, saksama dan berperikemanusiaan kpd pembunuh bukan kepada mangsa…terbaik laaa

Comments are closed.