Tangkap layar video yang tular memaparkan simulasi gemparan am dilaksanakan polis Johor.

JOHOR BAHRU – Tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang Balai Polis Pekan Nanas, Pontian yang berlaku pada sebelah malam.

Menerusi video berdurasi 13 saat itu, lebih lima lelaki dilihat membawa senjata dipercayai kayu atau besi dilihat sedang ‘menyerang’ balai polis berkenaan di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Khamis lalu.

Bagaimanapun itu merupakan latihan amal simulasi gemparan am yang dilakukan di semua balai polis dan IPD di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar menjelaskan, latih amal berkenaan dilaksanakan bermula 2 Julai lalu hingga 5 Ogos depan.

“Latihan ini dilaksanakan mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara (PTKPN A124) bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan perancangan dan tindakan Polis Johor dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

“Latih amal simulasi itu dibuat untuk kita pastikan semua pegawai dan anggota polis Johor dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi situasi krisis,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Kumar mengulas video berkenaan yang tular dalam aplikasi Telegram sekali gus menimbulkan kebimbangan awam.

Sehubugan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan terpengaruh dengan khabar angin serta video latih amal yang ditularkan melalui media sosial itu.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkaitan latih amal ini kerana ia boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.- MalaysiaGazette