Rais (dua dari kiri) meninjau sisa kitar semula yang dikumpul selepas merasmikian Karnival Mega Trash To Cash 2024 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah hari ini.

MELAKA – Program kitar semula sampah menjadi duit, Trash To Cash berjaya mengutip 1,598 tan sampah yang menjana pendapatan RM354,798 kepada peserta sepanjang tahun lalu.

Inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu sekali gus dapat menyokong program Dasar Kebersihan Negara.

Exco Kanan Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yassin berkata, kejayaan itu direkodkan melalui 957 program Trash To Cash yang dilaksanakan SWCorp dengan kolabrasi pelbagai agensi.

Rais Yasin

“Manakala sehingga bulan lalu, sebanyak 922,253.86 kilogram sampah telah dikutip dengan nilai RM177,508.73 dan ini penting bagi penetapan kadar kitar semula negara yang disasarkan 40 peratus menjelang tahun 2025.

“Tahun lalu, Malaysia telah melepasi sasaran dengan kadar 35.38 peratus dan saya yakin angka ini akan terus melonjak hasil usahasama berterusan antara SWCorp, pihak berkuasa tempatan dan semua agensi negeri,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas merasmikian Karnival Mega Trash To Cash 2024 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SWCorp Hee Loy Sian dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Rais (kanan) melihat sebahagian daripada 10.3 tan barangan kitar semula terdiri daripada minyak masak, peralatan elektrik, botol, kotak dan fabrik.

Pada majlis itu, sebanyak 10.3 tan barangan kitar semula terdiri daripada minyak masak, peralatan elektrik, botol, kotak, fabrik dengan nilai RM8,266 dibayar kepada peserta program.

Mengulas lanjut Rais berkata, penganjuran Trash To Cash hari ini juga memberi peluang kepada masyarakat melupuskan al-Quran lama atau rosak dan pertukaran al-Quran baharu secara percuma bagi naskah yang tidak mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri.

“Selain itu, kewujudan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula juga merupakan salah satu strategi yang ditawarkan kepada masyarakat di sembilan lokasi operasi pusat itu.

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 69 tan sisa kitar semula berjaya dikutip melalui program ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast