PETALING JAYA – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru supaya pasangan yang telah berkahwin dan ingin menimang zuriat supaya tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Baginda bertitah, rawatan mendapatkan zuriat tidak hanya tertumpu kepada kaum wanita atau isteri sahaja, sebaliknya suami juga memerlukannya.
Katanya lagi, tempoh yang baik untuk memeriksa kesuburan dalam tempoh dua hingga tiga tahun perkahwinan.
“Sekarang ini kecanggihan ada, kemudahan di depan mata. Jangan malu untuk dapatkan rawatan, masalah kemungkinan datang daripada lelaki. Semuanya sekarang ada kemudahannya. Pergi ke platform yang betul.
“Jangan salahkan orang perempuan sahaja (kerana) ada juga lelaki bermasalah,” demikian titah Tunku Azizah semasa sidang media selepas majlis perasmian pembukaan cawangan baharu Alhaya Fertility Centre di KPJ Damansara.
Turut hadir, penyanyi nombor satu Datuk Siti Nurhaliza dan Pengarah Urusan urusan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr. Colin Lee.
Dalam masa yang sama, Tunku Azizah turut mengingatkan pasangan suami isteri supaya tidak berputus asa dalam mencari rawatan yang dapat membantu mendapatkan zuriat.
“Saya sendiri pernah mencuba 17 kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF). Saya tahu kesukarannya, saya tahu susah senangnya sebab itu saya tidak tahulah orang yang tidak mahu anak sampai gugurkan, sebab saya dan Siti (Nurhaliza) kami susah payah nak dapatkan anak,” tambah baginda.
Terdahulu, Alpha IVF Group Berhad telah mencapai lebih 20 kejayaan dalam bidang rawatan kesuburan di peringkat antarabangsa.
Dalam majlis yang sama hari ini, Alhaya mengumumkan tajaan rawatan kesuburan untuk tiga pasangan dari Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).-MalaysiaGazette