Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height, Tebrau, Johor Bahru, malam tadi

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada wakil parti politik yang mahu berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menolak pelawaan tersebut dan beliau mendakwa ketika ini masih lagi belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil-wakil daripada parti berkenaan.

“Ada delegasi yang datang mahu jumpa saya dan Anwar, saya tidak terbuka hati lagi jumpa mereka. Saya pesan jangan dipatuk ular yang sama untuk kali kedua di tempat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Jazlan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.

Perkara itu ditimbulkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada 22 Julai lalu, yang antaranya mendakwa beberapa pertemuan tidak rasmi telah diadakan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti bagi ‘menyatukan kembali undi Melayu’.

Fadhli mendakwa, dalam satu pertemuan itu, seorang pemimpin utama UMNO meluahkan rasa serba salah bekerjasama dalam kerajaan yang didakwa merugikan dan mengharapkan UMNO dapat kembali bekerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, tiada perbincangan berkenaan kerjasama antara UMNO dan Pas namun jika pun ada pertemuan, itu dibuat secara tidak rasmi.

Pada 8 Julai lalu, Zahid juga menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu kerana mendakwa kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dikhianati Pas.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, sekiranya UMNO mahu membuat rundingan perlu dipastikan parti berkenaan berada dalam keadaan kuat terlebih dahulu.

“Kalau mahu berunding pastikan kita kuat terlebih dahulu, ini the ‘art of negotiation’, kalau kita lemah orang ajak berunding jangan pergi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau percaya Johor akan terus menjadi deposit tetap BN berbanding di negeri lain dan banyak tugas berat serta tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam mengekalkan kedudukan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri itu juga yakin UMNO serta BN akan terus menjadi kerajaan di negeri ini selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang namun dengan syarat semua pihak dalam parti tidak berpecah belah terutama di peringkat cawangan.

“Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn (Hafiz Ghazi) kekal sebagai kubu dan simpanan tetap UMNO. Sebagai simpanan tetap banyak tugas berat yang perlu dilakukan. Dulu Sabah simpanan tetap BN tapi (sekarang) ke laut.

“Ada beberapa negeri lagi yang menjadi simpanan tetap sebelum ini tetapi sekarang semuanya sudah ‘cair’. Saya amat yakin jika soal penyatuan dalam kalangan kita dan soal mengembalikan semangat baharu dalam kalangan akar umbi, insya-ALLAH pada PRN akan datang Johor akan tetap bawah BN dan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Halim berkata, UMNO Bahagian Tebrau berhasrat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selain mengekalkan kerusi DUN Tiram pada PRN nanti.

Bekas ADUN Puteri Wangsa selama dua penggal itu berkata, usaha mendekati mendekati dan menawan hati pengundi di kawasan tersebut perlu dilakukan sekarang.- MalaysiaGazette