Mantan Naib Presiden, Datuk T Mohan

KUALA LUMPUR – Keadaan ‘tegang’ berhubung isu sumbangan dana syarikat minuman keras dalam acara di sekolah perlu ditangani sendiri oleh kerajaan.

Menurut bekas Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan, isu ini bukan sesuatu yang baharu namun ada pihak  cuba meraih publisiti politik melaluinya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya celik dengan situasi yang sedang dihadapi oleh sekolah-sekolah sejak sekian lama.

“Mengapa isu ini timbul? Mengapa sekolah-sekolah ini menerima dana daripada sebegini jika dana mencukupi telah disalurkan oleh kerajaan?

“Apapun sekolah-sekolah ini adalah sekolah berstatus kerajaan bukannya persendirian. Ini adalah tanggungjawab kerajaan bukan begitu?

“Dulu ada bantuan modal, kini ada bantuan penuh namun tidak ada banyak bezanya. Jadi jika kerajaan mengambil inisiatif untuk melihat sendiri situasi dan keperluan sekolah-sekolah itu, mengapa perlunya ambil dana dari pihak luar termasuk syarikat arak atau judi?,” katanya.

Kata Mohan lagi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu lihat perkara ini dengan serius sebelum mengambil tindakan sewajarnya supaya isu kekurangan dana tidak timbul lagi.

“Kementerian Pendidikan Malaysia melalui menterinya sudah tampil dengan kenyataan bahawa garis panduan yang sebelum ini akan terus terpakai tetapi ada baiknya jika beliau boleh mencari jalan penyelesaian panjang bagi perkara ini.

“Cari jalan untuk memberikan dana yang mencukupi supaya pihak pentadbiran tidak lagi perlu memikirkan program mencari dana. Henti politikkan isu ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast