Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu bercakap pada media selepas hadir ke Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dan merasmikan Karnival Komuniti MADANI di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong. Foto SYADILA AMARI, 28 JULAI 2024.

PUCHONG – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu enggan ‘melayan’ saranan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu beliau meletakkan semua jawatannya susulan kontroversi membabitkan penajaan daripada syarikat arak baru-baru ini.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Sepang itu, beliau lebih fokus dalam menjalankan tugasan hakiki beliau dan tidak mahu terheret dengan apa jua isu yang cuba dipolitikkan segelintir pihak.

“Tanya dia lah, saya sebut begini sahaja. Kita di KPKT ada banyak lagi kerja perlu beri tumpuan. Itu juga adalah keutamaan dan tumpuan saya untuk berikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat selaku Timbalan Menteri.

“Ini merupakan antara kementerian yang besar memerlukan kesantunan rakyat kita tanpa mengira kaum seluruh dan bukan hanya di kawasan saya sahaja. Jadi saya tidak mahu terheret dengan ‘benda-benda’ yang tidak ada isu.

“Saya sudah mohon maaf ‘seandainya’ melakukan kekhilafan. Kita perlu maju terus, perlu teruskan kerja kerana rakyat memerlukan pembelaan dan perkhidmatan. Insyaallah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas progam Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Madani di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, di sini sebentar tadi.

Semalam, Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP) mendesak Aiman Athirah meletak jawatan kerana kehadirannya pada majlis mengumpul dana sekolah yang turut membabitkan penajaan sebuah syarikat arak.

Kata Maszlee, insiden memalukan dan menjatuhkan imej Amanah dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya malah desakan itu disifatkan sebagai pengajaran kepada wakil rakyat Amanah yang lain supaya lebih teliti dan berhati-hati.

Aiman Atirah sebelum ini meminta maaf jika ada pihak yang sensitif dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak pada satu majlis sumbangan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast