Sebanyak 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak disita pihak KPDN Johor dalam satu serbuan, baru-baru ini.

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak selepas melakukan serbuan di sebuah syarikat membungkus minyak masak di sini, Rabu lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan pukul 8.15 malam itu susulan syarikat pembungkusan minyak masak itu disyaki menyeleweng serta memanipulasi barang kawalan itu hasil pengauditan dokumen serta stok minyak masak di premis berkenaan.

“KPDN Johor melakukan sitaan selepas pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak di premis itu melebihi daripada had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong.

“Kegiatan ini terbongkar susulan pengauditan dilakukan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Putrajaya ke atas dokumentasi urus niaga penjualan minyak masak syarikat berkenaan.

“Pihak KPDN Johor membuat pemeriksaan tersebut bagi mendapatkan maklumat serta mengemukakan pengisytiharan stok di bawah Sekyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penguat Kuasa KPDN Johor melakukan pemeriksaan selepas menyerbu sebuah premis milik sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai, Rabu lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak yang berada di alamat perniagaan berkenaan melebihi daripada had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah CSA Borong.

“Oleh itu, KPDN mengambil langkah menyita 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak dengan nilai mencecah RM8.47 juta selain merampas beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Lilis Saslinda, kes berkenaan akan disiasat menerusi Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Jika disabit kesalahan ujarnya, denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya, katanya.

Beliau berkata, KPDN Johor akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.

“Kita juga mengalu-alukan aduan awam dan telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat,” katanya.- MalaysiaGazette