PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya merampas beberapa unit ambai disyaki tidak memiliki lesen dalam Op Hurricane di perairan Kuala Langat dari 25 hingga 26 Julai lalu.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kes itu akan disiasat dibawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 iaitu di bawah kawalannya atau milikannya peralatan menangkap ikan tanpa lesen.
“Dalam operasi sama, beberapa set belat haram yang dipasang di sepanjang perairan Kuala Langat turut ditemukan dan disita.
“Kesalahan ini disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan (Belat) tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Op Hurricane yang merupakan operasi bersepadu bersama Jabatan Perikanan (DOF) Selangor.
Beliau berkata, operasi itu antara lain untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan terhadap pematuhan undang-undang dan hal ehwal pelesenan seperti yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985.
“Pelaksanaan Op Hurricane Bersepadu dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam perkongsian maklumat dan kepakaran merentasi agensi dan jabatan yang menguatkuasakan Undang-undang Maritim.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan akan tetap terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette