Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood. Foto ABDULLAH YUSOF.

GERIK – Mayat lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor di sini, petang semalam dipercayai suspek yang melarikan diri daripada Ops Tapis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mayat mangsa berusia 45 tahun itu ditemui oleh orang awam, kira-kira 5.40 petang.

Menurutnya, hasil operasi yang dijalankan bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mayat mangsa berjaya dibawa ke jeti Kampung Jagor sekitar jam 7.40 petang dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal mendapati, mangsa adalah individu sama yang melarikan diri sewaktu Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menjalankan Ops Tapis pada 25 Julai lalu.

“Sewaktu operasi dijalankan berhampiran kawasan kebun durian berhampiran Titi Batu 6 Bersia itu, mangsa telah melarikan diri ke arah sungai dan tidak dapat dikesan.

“Operasi mencari telah dijalankan sehinggalah mangsa dijumpai semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat telah reput.

“Tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast