Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Sepasang kekasih maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kemajuan di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24, dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, kedua-duanya berasal dari Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada 3.11 pagi selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Haniff Idham dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pasukan penyelamat dari arah belakang.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa yang bekerja sebagai peniaga bersama bakal tunangnya terbabas lalu melanggar pokok hiasan di tengah pembahagi jalan sebelum masuk ke arah bertentangan.

Menurut Azli, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang datang dari arah Gong Badak menghala ke Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta mangsa.

“Selepas itu, datang pula sebuah kereta melanggar belakang kenderaan SUV berkenaan. Bagaimanapun pemandu kenderaan SUV hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pasangan berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum disahkan meninggal dunia. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast