PARIS – Sajjad Ghanim Sehen dari Iraq menjadi atlet pertama yang gagal ujian doping di Sukan Olimpik Paris 2024, kata Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) semalam.
ITA berkata, atlet judo itu diuji positif menggunakan steroid anabolik Metandienone dan Boldenone selepas sampel diambil semasa kawalan anti-doping di luar pertandingan pada Selasa lalu.
Jawatan kuasa Olimpik Antarabangsa menyerahkan tanggungjawab anti-doping kepada ITA, yang akan bertanggungjawab untuk melakukan ujian semasa Paris 2024 berlangsung.
Atlet itu boleh meminta ujian sampel B namun dilarang daripada sebarang aktiviti semasa Paris 2024.
Sekiranya sampel kedua juga didapati positif bahan terlarang, dia boleh dikenakan larangan sehingga empat tahun.
Atlet Iraq itu dijadualkan menentang lawan dari Uzbekistan, Sharofiddin Boltaboev pada 30 Julai dalam pusingan penyingkiran kategori bawah 81kg. – MalaysiaGazette