Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah membantu mempromosikan Kompleks Pasar Raja Bot, di Jalan Raja Alang di sini supaya orang ramai dapat mengenali pasar baharu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu dibuat kerana orang ramai masih lagi ke pasar lama.

“Kita akan bantu dari sudut promosinya…saya sendiri akan turun ke kawasan tersebut dan melihat keadaannnya…. Insya-Allah kita seboleh mungkin akan membantu supaya orang ramai boleh mengenali kawasan (pasar) tersebut dan akhirnya kawasan itu akan maju,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian bagi menjawab rungutan para peniaga di pasar tersebut yang mengeluh kerana kekurangan pelanggan di pasar itu.

Terdahulu, beliau merasmikan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya sepanjang Sultan Iskandar di sini, hari ini. Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam rungutan tersebut, rata-rata peniaga berkata, mereka bersedia untuk berpindah ke lokasi baharu itu sekiranya semua peniaga dipindahkan secara serentak ataupun pihak berkuasa mewajibkan mereka untuk berpindah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasar baharu itu dibangunkan dengan fasiliti yang baik, cantik dan bersih.

Katanya, beliau juga telah melihat perkembangan di pasar berkenaan beberapa hari lalu dan akan berkunjung semula ke situ bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh peniaga.

Pada pertengahan April lalu, DBKL merobohkan gerai di Jalan Lorong Muhibbah berhampiran Pasar Chow Kit berikutan pasar itu dikatakan menjadi pusat peniagaan melibatkan warga asing Indonesia dan Myanmar.

Difahamkan, premis itu dirobohkan untuk membina laluan masuk ke tapak projek pembangunan baharu Chow Kit Fasa Tiga.

Berikutan itu, 64 peniaga dipindahkan ke penempatan baharu di Kompleks Jalan Raja Bot, Chow Kit.

Kompleks pasar awam yang tersergam indah di Jalan Raja Bot itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti.

Antaranya kemudahan ekskalator, gerai makanan dan minuman, gerai runcit basah dan kering, pejabat pengurusan pasar, ruang penyimpanan barang, peti penyimpan sejuk beku, surau, ruang tempat letak kereta, kamera litar tertutup (CCTV) serta kawalan oleh pengawal keselamatan. – MalaysiaGazette