Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini telah mengenepikan keputusan terbuka Mahkamah Koroner melibatkan kematian Pegawai Kadet Tentera Laut, J Soosaimanicckam dan menggantikannya kepada homisid (bunuh). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JULAI 2024.

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini, mengenepikan keputusan terbuka (open verdict) Mahkamah Koroner melibatkan kematian Pegawai Kadet Tentera Laut, J Soosaimanicckam dan menggantikannya kepada homisid.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu dalam rayuan terhadap keputusan terbuka berhubung inkues menentukan punca kematian Soosaimanicckam di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan pegawai latihan TLDM yang menafikan hak Soosaimanicckam itu secara langsung telah menyebabkan kematian lelaki berkenaan.

“Berdasarkan semua bukti dan keterangan, setelah dipertimbangkan, mahkamah memutuskan untuk mengenepikan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan homisid yang mana punca kematian si mati adalah berpunca daripada edema pulmonari akibat jangkitan leptospirosis kencing tikus.

“Kematian si mati yang tidak dijangka itu juga adalah akibat langsung daripada (tindakan) pegawai TLDM yang bertanggungjawab dalam latihan kadet yang menafikan hak Soosaimanicckam untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Keputusan ini dibuat selaras dengan perenggan (d) Arahan Amalan Ketua Hakim Negara No.2 dan mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah bagi menentukan siapa yang terlibat secara jenayah dalam punca kematian seseorang individu,” jelasnya.

Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan terbuka kes kematian pegawai kadet TLDM, menggantikannya sebagai homisid
Keluarga mendiang Pegawai Kadet Tentera Laut, J Soosaimanicckam bersama peguam keluarga, Zaid Malek di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini,
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 JULAI 2024.

Sementara itu, di luar mahkamah, peguam keluarga, Zaid Malek memaklumkan, keluarga mendiang bersyukur dengan keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada hari ini selepas enam tahun berjuang menuntut keadilan terhadap kematian Soosaimanicckam.

Pada 16 Jun tahun lalu, Mahkamah Koroner Ipoh menerusi Koroner Ainul Shahrin Mohamad memutuskan punca kematian Soosaimanicckam yang meninggal dunia semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.

Terdahulu pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam yang ketika itu berusia 27 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

TLDM dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan, Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada jam 12.20 tengah hari.

Susulan itu, Soosaimanicckam telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang. – MalaysiaGazette