KUALA LUMPUR – Kementerian Digital menegaskan pihaknya memandang serius berhubung gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global yang berlaku pada 19 Julai lalu.
Menterinya, Gobind Singh Deo menegaskan, pihaknya telah mengarahkan agar satu laporan diberikan bagi mengenalpasti punca dan kesan gangguan terbabit.
“Saya telah maklumkan perkara ini kepada pihak terlibat dan mereka dalam proses mendapatkan laporan dan selepas laporan itu dibentang kepada saya.
“Saya akan buat sidang media untuk buat penjelasan apa yang telah berlaku dan akan datang apakah langkah yang diambil untuk memastikan ia dapat dielakkan daripada berulang,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan MoU antara Digital Nasional Berhad (DNB) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) di My5G Portal, Exchange 6, TRX hari ini.
Sebelum ini, Gobind berkata, lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lalu.
Agensi berkenaan ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.
Selain lima agensi berkenaan, sembilan syarikat swasta turut terkesan membabitkan sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan.
Dalam pada itu, Gobind berkata, syarikat yang membekalkan perkhidmatan sedemikian perlu bertanggungjawab atas kerugian mahupun kerosakan yang beralku akibat serangan berkenaan.
Menurutnya, satu jaminan juga perlu diberikan syarikat berkenaan agar kejadian sama tidak akan berulang.
“Saya dalam kementerian telah menyatakan pendirian tegas kita bahawa biar pun Microsoft ataupun mana-mana syarikat yang alami crowdstrike mereka mesti memberikan kepada kita jaminan bahawa selepas berlaku masalah sebegini satu audit perlu dilaksanakan untuk menunjukkan bahawa sistem yang ada sekarang memang tidak membenarkan perkara ini berulang lagi.
“Saya rasa kementerian memandang serius perkara ini dan mengambil pendirian tegas apabila bina satu rangkaian yang meluas patut menjadi selamat untuk digunakan dan apa-apa program yang dicadangkan oleh mana-mana syarikat ianya perlu datang dengan tanggungjawab bahawa sekiranya ada kelemahan, ia akan diuruskan secepat mungkin dan jaminan diberikan bahawa masalah itu tidak akan berulang,” katanya lagi.
Gobind dalam pada itu berkata, kerajaan akan memastikan harga perkhidmatan 5G di bawah rangkaian kedua kekal pada kadar sedia ada.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) prihatin akan persoalan itu dan aspek harga telah diambilkira semasa proses penilaian pelaksanaan rangkaian itu.
“Dalam proses penilaian yang telah membawa kepada keputusan ini (untuk meneruskan rangkaian kedua, aspek kenaikan harga dan sebagainya telah diambilkira.
“SKMM prihatin akan persoalan ini dan kita telah pun mengambil langkah untuk memastikan apabila diwujudkan rangkaian kedua, harga yang akan ditetapkan mengikut harga sedia ada dan ini adalah perkara dalam perhatian MCMC dan prosesnya masih berjalan,” katanya lagi.
Sebelum ini, ahli ekonomi, Goh Lim Thye dari Universiti Malaya (UM) menganggarkan harga rangkaian 5G kedua akan meningkatkan perbelanjaan modal disebabkan infrastruktur berlebihan.
Lim Thye berkata, rangkaian 5G kedua akan meningkatkan perbelanjaan modal disebabkan infrastruktur berlebihan. – MalaysiaGazette