JASWPKL memeriksa salah satu premis dalam Ops Gempur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) telah mengeluarkan 23 arahan lapangan, lima notis arahan, tiga tawaran kompaun dan tiga penyediaan kertas siasatan sepanjang pelaksanaan Ops Gempur bermula 19 hingga 25 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JASWPKL hari ini, operasi itu telah melibatkan 18 orang pegawai penguat kuasa yang telah dibahagikan kepada lima pasukan.

“Kami telah menggempur sebuah premis mengumpul barang lusuh dan skrap metal yang dipercayai menjalankan aktiviti peleraian buang elektronik (SW 110). Sampel buangan telah diambil dan dihantar untuk analisis di Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

“Jika disabitkan kesalahan, premis itu boleh didakwa di bawah Akta Alam Sekeliling 1975 (AKAS 1974) (Pindaan 2024),” katanya.

Premis lain yang turut digempur adalah loji rawatan kumbahan yang mempunyai nilai bilangan penduduk setara (PE) melebihi 150 yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Kumbahan) 2009, kilang memproses makanan yang menghasilkan efluen yang tertakluk di bawah PPKAS (Efluen) 2009, bengkel servis kenderaan, makmal, pusat penyelidikan, pusat percetakan dan klinik yang tertakluk di bawah PPKAS (Buangan Terjadual) 2005.

Selain itu, operasi juga satu kerjasama di antara Unit Risikan/Operasi, Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Dalam operasi ini, JASWPKL telah berjaya membuat pemeriksaan penguatkuasaan ke atas 23 premis. Pelaksanaan Ops Gempur diharapkan dapat mengenakan tindakan penguatkuasaan dan memberi mesej yang jelas untuk semua pihak terus mematuhi kehendak perundangan serta kepentingan alam sekitar,” tambahnya. – MalaysiaGazette