KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Suruhanjaya Data bertujuan memperkukuhkan pengurusan dan keselamatan data rakyat negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementerian itu merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi tujuan penubuhan suruhanjaya ini dan akan dibentangkan di Parlimen pada Mac depan atau pertengahan tahun depan.
“Penubuhan Suruhanjaya Data bagi meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang bertujuan menangani trend peningkatan isu penyalahgunaan data peribadi.
“Saya telah mencadangkan bahawa kita wujudkan satu Suruhanjaya Data, kita ada Pesuruhjaya Data tetapi tidak ada suruhanjaya lagi.
“Apa yang wujud adalah jawatankuasa jadi apa yang hendak difokuskan adalah kita akan menggunakan platform jawatankuasa dahulu dan kita akan bangunkan Suruhanjaya Data.
“Bergerak ke hadapan kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya jawatankuasa itu dijadikan suruhanjaya supaya ia dapat memfokuskan lebih kepada aspek data yang sangat penting,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan MoU antara Digital Nasional Berhad dan Cybersecurity Malaysia di My5G Portal, Exchange 6, TRX hari ini.
Gobind berkata, penubuhan Suruhanjaya Data itu juga bagi mendepani negara dengan cabaran daripada pelaksanaan sistem Kecerdasan Buatan (AI).
“Kita lihat pelaburan daripada Google dan Microsoft dan sebagainya, jumlah pelaburan cukup besar jadi kita lihat aspek itu kepada persoalan yang timbul adakah kita mempunyai polisi atau kerangka perundangan mencukupi untuk kita melindungi data dan juga untuk kita menggariskan polisi yang akan membolehkan penggunaan data tetapi dalam masa sama memastikan keselamatan diberikan keutamaan.
“Dalam keadaan tersebut saya telah mencadangkan kita wujudkan satu Suruhanjaya Data,” katanya. – MalaysiaGazette