BEIRUT – Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Rafic Hariri telah menghentikan segala operasi pelepasan dan ketibaan susulan ancaman serangan Israel ke atas Lubnan.
Menurut paparan maklumat pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang itu, semua penerbangan pada petang semalam dan seterusnya telah digantung.
Malah penangguhan dan pembatalan itu dijangka akan berpanjangan sehingga pagi Isnin ini.
Sebelum ini, Syarikat Penerbangan Lubnan, Middle East Airlines (MEA) telah mengumumkan beberapa penerbangan dijadualkan untuk berlepas dari Beirut ditangguhkan sehingga hari ini.
Selain itu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis telah memberi amaran kepada rakyat mereka untuk tidak ke Lubnan atas risiko gangguan perjalanan udara berpunca daripada ketegangan serantau yang semakin meningkat.
Ketegangan itu juga semakin bahaya apabila tentera Israel sendiri telah membentangkan senario mengenai serangan yang mungkin akan dilancarkan kepada kumpulan Hizbullah Lubnan pada Ahad lepas.
Laporan media antarabangsa melaporkan hal itu berlaku kerana serangan roket yang telah membunuh 12 orang di Bukit Golan yang diduduki Israel.
Presiden Israel, Benjamin Netanyahu telah berikrar yang serangan yang dilancarkan kumpulan Hizbullah akan membawa ‘bayaran balik yang mahal’ untuk mereka.
Ketegangan berpunca daripada susulan serangan kejam zionis itu ke atas penduduk Gaza yang telah meragut nyawa lebih 39,300 orang sejak Oktober lalu. – Agensi