Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau status terkini projek LRT3 laluan Shah Alam di Stesen Pasar Jawa, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JULAI 2024

KLANG – Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun hadapan, antara Ogos dan September 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek pengangkutan awam itu sepatutnya dijadualkan siap pada Mac depan bagaimanapun mengalami kelewatan akibat pandemik Covid-19.

Dengan jangkaan terbaharu itu,  projek LRT3 ini bakal siap sepenuhnya dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan.

“Projek LRT3 mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal yang dijadualkan pada Mac tahun depan. Kelewatan ini kerana semasa Covid-19, ada banyak kerja tak dapat dilaksanakan.

“Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan tapak projek LRT3 di Stesen Pasar Jawa, di sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada media berkenaan tinjauan status terkini projek LRT3 laluan Shah Alam di Stesen Pasar Jawa, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JULAI 2024

Dalam pada itu, Loke memberitahu ketika ini kerja-kerja fizikal sudah menghampiri siap menjelang Oktober nanti.

“Semua kerja-kerja fizikal untuk projek LRT3 ini termasuk beberapa stesen terutamanya stesen besar, stesen kecil dan stesen di bandar utama akan siap menjelang Oktober ini.

“Selepas itu akan dimulakan kerja-kerja sistem dan integrasi sistem, dijangka mengambil masa beberapa bulan sehingga awal tahun depan.

“Selepas itu ia bersedia untuk kita buat pengujian dan pentauliahan yang mengambil masa tiga hingga empat bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast