Gambar Arkib: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri hari pertama perbicaraan kes percubaan rasuah dengan bernilai RM 2.8 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 9 Oktober depan pendengaran permohonan yang difailkan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Permohonan pendengaran itu melibatkan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan Felcra Bhd yang dihadapi pasangan suami isteri itu.

Sepatutnya pendengaran rayuan oleh pasukan pendakwaan didengar hari ini namun mahkamah membenarkan penangguhan selepas salah seorang peguam bela sedang menjalani rawatan susulan pembedahan jantung baru-baru ini. 

Menurut salah seorang Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd Zamry, pihaknya tidak membantah penangguhan hari ini namun telah meminta tarikh lebih awal.

Difahamkan pasukan pembelaan telah memohon tarikh sekitar November namun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaid Ibrahim telah menetapkan tarikh lebih awal iaitu 9 Oktober ini.

Pada 7 September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Bung Moktar dan Zizie Izette merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lalu yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette