Peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee (kiri) hadir bagi permohonan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap bekas perdana menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding kebankrapan sebanyak RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut sama memohon ialah anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin dengan tunggakan sebanyak RM37.6 juta kepada lembaga tersebut.

Prosiding yang berlangsung dalam kamar disahkan oleh peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee kepada media.

Muhammad Farhan berkata, pihaknya akan membuat rayuan secepat mungkin kepada Mahkamah Tinggi, di sini.

“Kita telah mohon untuk tangguh dulu prosiding kebankrapan memandangan rayuan pendengaran di Pesuruhajaya Khas Cukai Pendapatan di Putrajaya belum didengari ketika ini.

“Bagaimanapun Timbalan Pendaftar, Kamarul Aris Kamaluddin menolak permohonan kami hari ini. Kita akan buat rayuan secepat mungkin memandangkan permohonan rayuan bagi keputusan ini dibenarkan,” katanya.

Kata Muhammad Farhan, setakat ini anak guamnya hanya menerima notis kebankrapan dan belum lagi diisytihar bankrap.

“Undang-undang cukai Malaysia menetapkan merit taksiran cukai hanya boleh ditentukan dengan kebenaran khas.

“Jadi dalam erti kata lain, sejak taksiran cukai tambahan dikeluarkan sehingga sekarang, merit masih belum diadili atau ditentukan oleh mana-mana mahkamah, termasuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan, kerana masih di peringkat suruhanjaya khas itu,” jelasnya.

Beliau berkata, keputusan hari ini adalah untuk menangguhkan prosiding kebankrapan bagi membolehkan pendengaran pesuruhjaya khas diteruskan terlebih dahulu.

Pada Oktober tahun lalu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan memerintahkan Najib dan Mohd Nazifuddin melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada LHDN.

Najib dan Nazifuddin merayu, selepas dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai masing-masing.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Dua beranak itu juga gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus.

Pada 10 Mei 2022, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Najib dan Nazifuddin diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette