Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menamatkan belian bersih selama tiga minggu di Bursa Malaysia dengan menjual RM423.5 juta nilai ekuiti tempatan minggu lepas.

Belian hanya dibuat pada hari Selasa dengan aliran masuk asing bersih berjumlah RM151.1 juta, manakala baki minggu itu menyaksikan dana asing keluar daripada pasaran.

Aliran keluar terbesar berlaku pada Khamis sebanyak RM371.0 juta, kata MIDF Research.

Pelabur asing hanya membuat belian bersih dalam tiga sektor minggu lepas iaitu hartanah (RM43.9 juta), utiliti (RM42.2 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

Tiga sektor teratas yang menyaksikan jualan bersih ialah teknologi (RM107.7 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM87.7 juta) dan produk perindustrian & perkhidmatan (RM80.8 juta).

Pelabur institusi dan runcit tempatan pula menjadi penyokong bursa tempatan minggu lepas, memecahkan rentetan jualan bersih sebelum ini.

Firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan membeli bersih RM256.4 juta selepas melakukan jualan selama dua minggu sebelumnya.

Sementara itu, pelabur runcit menamatkan tempoh jualan bersih tiga minggu dengan membeli RM167.0 juta pada minggu lepas.

Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan dalam kalangan peruncit tempatan (-27.7%), institusi tempatan (-29.4%) dan pelabur asing (-35.2%). – MalaysiaGazette