Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin (tiga dari kiri) bersama para ahli MHO dan mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat pada sidang media mengenai kes skim pelaburan palsu di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – “Ini bukan wang kamu datuk, ini wang orang!”

Itu tegas Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim kepada seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang disyaki telah memperdayakan lebih 1,000 pelabur.

Menurut beliau, skim pelaburan yang didalangi individu kenamaan tersebut menawarkan konsep pelabur dijanjikan dengan satu pulangan dividen lumayan serta manfaat lain.

“Pihak MHO telah menerima 53 aduan daripada para pengadu yang disyaki telah menjadi mangsa dengan anggaran kerugian yang dialami oleh mereka adalah sebanyak hampir RM20 juta.

“Sebagai makluman, syarikat yang menjadi tunjang utama dan beberapa buah syarikat lain ini telah pun didenda oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Seksyen 253 Financial Services Act (FSA) dan Seksyen 92 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berjumlah RM50 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Hishamuddin, hukuman itu tidak setimpal kerana individu tersebut telah melarikan puluhan juta ringgit duit deposit mangsa.

“80 peratus mangsa skim pelaburan ini adalah warga emas yang menggunakan wang persaraan mereka. Hasil maklumat daripada para pengadu juga menyatakan ‘Datuk’ tersebut masih lagi memberikan harapan palsu kepada para pelabur,” ujarnya.

Hishamuddin juga menggesa pihak berkuasa mempercepatkan proses tindakan terhadap syarikat itu agar keadilan dapat dilaksanakan kepada mangsa yang diperdaya.

Salah seorang mangsa seorang pesara swasta, Rosman Zainuddin, 58, mendakwa telah melabur dalam syarikat berkenaan dan hanya menerima dividen pada 10 bulan pertama sejak November 2021.

“Saya percaya akan skim pelaburan ini kerana saya kenal rapat dengan ejen yang mengenalkan skim ini. Saya melabur sekitar RM300,000,” katanya.

Menurutnya, perjanjian yang dikatakan patuh syariah itu merupakan tarikan kepada pelabur untuk menyertai skim pelaburan palsu itu. – MalaysiaGazette