KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga laluan sekitar Putrajaya akan ditutup secara berperingkat sempena Sambutan Hari Pahlawan di Laman Putra 4 Presint 1, Putrajaya pada Rabu ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, antara laluan terlibat adalah Jalan Persiaran Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah; Jalan Lebuh Perdana Timur; Laluan sekitar Kompleks E.
“Penutupan jalan secara sementara bermula jam 7.30 pagi dan akan dibuka semula secara berperingkat setelah tetamu kehormat melalui dan selamat sampai ke majlis tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan.
“Bagi laluan kenderann di Bulatan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah akan diberhentikan seketika semasa lagu Negaraku berkumandang dan dibuka semula selesai acara tembakan meriam dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, JSPT akan menempatkan seramai 82 pegawai dan anggota bagi mengawal lalulintas sepanjang program itu berlangsung.
“Pengguna jalan raya terutama petugas-petugas yang yang akan melalui lokasi penutupan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan hadir awal ke pejabat bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-8886 2138 ataupun Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 0320260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette