KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menafikan UMNO lepas tangan apabila mahkamah menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kes International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapinya digugurkan (DNAA).
Sebaliknya, dakwa beliau, apa yang berlaku adalah negara berdepan dengan `pendakwaan terpilih’ (selective persecution) yang belum habis.
Katanya, ia dapat dilihat apabila selepas enam tahun perbicaraan, mahkamah menangguhkan lagi kes IPIC sehingga ke tarikh 14 November depan.
“Enam tahun tanpa perbicaraan memang pelik. Pendakwaraya belum bersedia. Dakwa dulu bukti kemudian. Bila tak cukup bukti tangguh lagi. Hampir 40 kali,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan badan seperti Suhakam dan Majlis Peguam yang disifatkan selektif dalam isu yang diperjuangkan.
“Sebab itu Zaid Ibrahim buang masa mahu tengok `instinct’ Pas `for justice’. Pas pun sama,” katanya.
Pada 2018, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah didakwa bersama dengan enam pertuduhan menyeleweng dana awam yang bertujuan untuk pembayaran kepada IPIC, sebuah syarikat milik Abu Dhabi.
Isnin lalu, peguam bela yang mewakili Najib dan Mohd. Irwan Serigar mengemukakan permohonan DNAA itu atas alasan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan keseluruhan set dokumen yang dimaksudkan untuk digunakan dalam perbicaraan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan turut mengarahkan pihak pendakwaan melengkapkan proses penyahklasifikasian dokumen dalam tempoh tiga bulan. – MalaysiaGazette