Ihsan Foto : Majlis Sukan Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya menjadi naib juara kumpulan A selepas tewas kepada pilihan utama China, Wei Keng-Wang Chang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Sukan Olimpik Paris 2021 awal pagi tadi.

Dalam aksi yang berlangsung selama 42 minit di Porte de La Chapelle Arena, gandingan Aaron- Wooi Yik yang juga merupakan pemenang gangsa pada Olimpik Tokyo 2020 terpaksa akur selepas kecundang 22-24,14-21 kepada pasangan nombor satu dunia itu.

Pasangan beregu negara itu telah memulakan kempen dengan menewaskan pasukan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21,21-16, 21-11 pada Sabtu lepas selepas berjaya meraih tiket suku akhir dengan menyingkirkan bergeu dari Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10,21-15, semalam.

Aaron-Wooi Yik yang kini di ranking kelima dunia telah berhempas pulas untuk merapatkan jurang yang pada ketika itu mereka ketinggalan lima mata sehingga menjadi 20-20 namun mereka gagal melakukan penyudahan dalam aksi menentang beregu nombor satu dunia itu.

Bagaimanapun pada set kedua, Aaron- Wooi Yik gagal mengekalkan rentak cemerlang apabila kerap melakukan kesilapan mudah sehingga memberi kemenangan kepada pihak lawan.

Meskipun pasangan negara itu tewas, mereka sudahpun layak untuk berakhir di pentas suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 dan dinobatkan naib juara kumpulan A. – MalaysiaGazette