Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin, Larkin, Johor Bahru hari ini disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli

JOHOR BAHRU – Jabatan Kimia mengesahkan kandungan air dalam kolam renang dan kolam terjun di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, Larkin, di sini mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan sampel air kolam berkenaan yang dihantar ke Jabatan Kimia kelmarin diperolehi pada pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu kesal dengan pihak pengurusan kolam terbabit yang tidak membuat penyelenggaraan sewajarnya hingga menyebabkan 19 peserta Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 Khamis lalu mengalami gejala tidak sihat.

“Saya dimaklumkan berhubung insiden ini dan hasil siasatan mendapati kandungan air kolam terbabit tercemar dengan bakteria e-coli dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pantri Kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.

Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat keadaan kolam terbabit tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan fasiliti berkenaan.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, pusat akuatik tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga semua kerja baikpulih selesai.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan.

Berdasarkan laporan Jabatan Kimia katanya, semua sembilan sampel mendedahkan telah tercemar oleh bakteria e- coli.

“E-coli ialah spesies bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan haiwan. Bakteria ini biasanya menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan yang tercemar dengan najis membawa bakteria,” katanya.

Pihaknya kata beliau , sudah meminta pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat siasatan berhubung insiden berkenaan.

Ujarnya, pihak MSNJ perlu membuat persiapan rapi dari segala segi sebelum sesuatu kejohanan berlangsung sama ada diperingkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), MSSJ atau negeri itu sendiri.

“MSNJ hendaklah menitik beratkan dari segi suasana, penempatan, makanan dan segala aspek kebajikan. Saya sebagai Exco sukan tidak mahu perkara ini berulang lagi.

“Aset itu kepunyaan swasta tetapi apabila membabitkan sukan pelajar itu adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap aspek pengajuran dikenal pasti,” tambahnya.

Beliau juga meminta agar Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) terus berhubung dengan MSNJ untuk sukan di peringkat sekolah agar dapat nasihat ber hubung penggunaan fasiliti aset sebelum kejohanan berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast