SEBERANG PERAI – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pekerja kontraktor kilang pembuatan di Perai di sini maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter (m).
Kejadian berlaku pada Sabtu lalu.
Mangsa yang merupakan warga asing berusia 21 tahun meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa dalam insiden pukul 2.15 petang itu.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 25 Julai lalu semasa mangsa melakukan kerja memasang anak tangga di kilang itu.
“Siasatan mendapati mangsa telah naik ke atas platform setinggi 5.2 m menggunakan skylift untuk mengetatkan skru di platform tersebut sebelum disyaki tergelincir.
“Dia terjatuh ke atas lantai dan telah dikejarkan ke hospital sebelum dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 27 Julai lalu.
”Susulan itu, kita telah mengeluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, JKKP juga telah mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan sebelum membuat pembentangan kes kepada JKKP.
“Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan saksi dan lawatan susulan ke premis majikan.
“Ia menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette