Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kenyataan Prabelanjawan (KPB) bagi Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerbitan KPB bertujuan untuk menzahirkan keutamaan-keutamaan Kerajaan dalam Belanjawan 2025 kepada pihak berkepentingan.

KPB juga sebagai panduan bagi mengemukakan maklum balas dan cadangan untuk menggubal Belanjawan Negara.

KPB menetapkan tema Ekonomi MADANI: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai panduan kepada proses konsultasi bagi Belanjawan 2025.

“Kerajaan mengalu-alukan cadangan rakyat dan komuniti perniagaan untuk Belanjawan 2025, khususnya langkah yang dapat mempercepat pencapaian hasrat Ekonomi MADANI serta mempertingkatkan momentum pertumbuhan,” kata Amir Hamzah semasa Sesi Dialog Prabelanjawan 2025 bersama penjawat awam pagi tadi.

Katanya, ekonomi negara telah melalui peningkatan pertumbuhan yang amat memberangsangkan iaitu daripada 2.9% pada Suku Keempat 2023 kepada 4.2% Suku Pertama 2024.

Anggaran awal bagi Suku Kedua 2024 pula telah diunjur pada 5.8%.

Katanya, antara faktor yang menggalakkan pertumbuhan termasuk pemulihan eksport yang mengembang sebanyak 5.2% pada Suku Pertama 2024 berbanding penguncupan sebanyak 8.1% pada tahun 2023.

Pertumbuhan pelaburan swasta pula mengukuh kepada 9.2% pada Suku Pertama 2024 berbanding 4.6% pada tahun 2023.

“MOF komited untuk terus memberi keutamaan terhadap reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025, selari dengan sasaran jangka sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“Pada masa sama, MOF juga akan memastikan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui oleh sektor swasta,” tambah Amir Hamzah.

KPB menzahirkan tiga keutamaan jangka pendek di bawah Belanjawan 2025 bagi merealisasikan kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi.

Menaikkan lantai iaitu menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang) dan memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.

Proses penggubalan Belanjawan Negara telah bermula pada 9 Julai dengan Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Oang awam boleh menghantar komen, maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my. – MalaysiaGazette