Ais krim yang dicampur dengan ubat batuk. #malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melarang produk ais krim yang dicampur dengan ubat batuk.

Menurut KKM, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius penjualan produk tersebut oleh sebuah rangkaian premis jualan ais krim dan ia melanggar undang-undang negara.

“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) KKM telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan dan mendapati bahawa ais krim disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Pei Pa Koa adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

Ubat berkenaan digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

“Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

“Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut KKM, pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.

Orang ramai pula adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

Tambahnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Pengguna juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast