Nik Nazmi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), semalam.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Kedua (MBN Ke-2) bersetuju menambah lima kementerian sebagai ahli baharu bagi mengukuhkan usaha pengurusan biodiversiti merentas sektor.

Lima kementerian itu adalah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kerja Raya.

“MBN merupakan platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan yang diurus setiakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),” kata NRES menerusi kenyataan.

Menurut NRES, sebanyak 14 kertas pertimbangan dan enam kertas makluman telah dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.

Antara yang dipersetujui adalah mengiktiraf Seladang sebagai spesies terancam yang mempunyai kepentingan negara.

NRES berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju membangunkan Pelan Pengurusan Konservasi Seladang bagi menstabilkan populasinya.

“Menubuhkan Kumpulan Kerja Tematik bagi menggalakkan penglibatan pemegang taruh dalam pelaksanaan serta pemantauan kemajuan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 dan mengemas kini senarai induk kawasan perlindungan dan mengoperasikan Kumpulan Kerja Kawasan Perlindungan di bawah Kerangka Kawasan Perlindungan Kebangsaan.

Selain itu, ia bertujuan membangunkan Pelan Tindakan Bersama One Health Kebangsaan dan menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan  yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kata NRES lagi, mesyuarat berkenaan dalam masa yang sama turut mengambil maklum pencapaian pelaksanaan
insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation – EFT); status penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia; biodiversiti dan risiko penyakit zoonotik.

Selain itu pindaan perundangan untuk pelaksanaan projek karbon hutan Sarawak; kajian kes tumbuhan hiperakumulator di Sabah melalui akses dan perkongsian faedah termasuklah hasil kajian penyelidikan flora hutan batu kapur di Negeri Kelantan dan Perlis turut diutarakan – MalaysiaGazette