Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Bau busuk dihidu jiran membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang tinggal berseorangan di sebuah rumah teres di Taman Ria, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan ada wanita meninggal dunia dalam rumah berdasarkan bau busuk datang dari rumah mangsa pada jam 10.40 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum mendapatkan bantuan bomba untuk memecahkan pintu rumah yang berkunci itu.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah membawa kepada penemuan mayat Him Be Lee, 68, dalam keadaan reput di atas katil dalam bilik utama rumah tersebut.

“Menurut saksi, iaitu jiran si mati kali terakhir mereka melihat wanita tersebut Sabtu lalu sebelum sedar bau busuk dari arah rumahnya ketika sedang berjoging hari ini.

“Semakan lanjut juga mendapati si mati mempunyai rekod sakit darah tinggi, kelenjar tiroid bengkak dan kali terakhir menerima rawatan pada Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette