Sebuah motosikal dan Perodua Aruz terbakar dalam kemalangan maut di Jalan Kota Tinggi-Kulai, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terseret sebelum terbakar dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 20.4 Jalan Kota Tinggi-Kulai dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan itu berlaku pukul 5.55 pagi melibatkan motosikal Modenas dengan lori jenis Hino 700, kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dan Nissan X-Trail serta kereta Perodua Myvi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dalam perjalanan dari arah Kulai menuju ke arah Kota Tinggi. Keadaan pada masa itu kabus tebal dan motosikal itu melanggar belakang lori yang dipandu lelaki berusia 40 tahun.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang berusia 35 tahun terjatuh atas jalan raya. Kemudian motosikal itu dilanggar dan diseret Perodua Aruz dipandu lelaki berusia 36 tahun. Motosikal dan Perodua Aruz tersebut terbakar di tempat kejadian.

“Pemandu Perodua Aruz tersebut sempat keluar menyelamatkan. Mangsa yang berada di atas jalan dilanggar Nissan X-Trail dipandu lelaki warga tempatan berusia 53 tahun. Lelaki itu tidak perasan melanggar mangsa yang berada atas jalan kerana kabus tebal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran tersebut katanya, Nissan X-Trail itu berhenti secara mengejut dan dilanggar dari sisi belakang oleh Perodaua Myvi dipandu wanita tempatan berusia 31 tahun yang tidak sempat mengelak.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya di hantar ke Unit Forenseik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Menurut beliau, semua mangsa lain yang terlibat tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang lima tahun.- MalaysiaGazette