KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori kontena maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 6.02 pagi.
“Susulan itu, seramai tuhuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi bagi mengekuarkan mangsa yang tersepit.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu Proton Pesona, lori treler dan lori kontena.
“Semakan mendapati, dua mangsa di dalam Proton Pesona dan lori treler mengalami kecederaan ringan sebaik dibawa keluar orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.” katanya dalam kenyataan hari ini .
Tambah beliau, pemandu lori kontena berusia 32 yang tersepit di tempat duduk berjaya dibawa keluar pada jam 6.51 pagi namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette