Nona Asiah

KUALA LUMPUR – Legenda seni suara era kegemilangan filem P. Ramlee Nona Asiah meninggal dunia pada usia 94 tahun di Singapura hari ini.

Berita pemergian Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah Amen dimaklumkan oleh anaknya bongsunya Indra Shahrir Ismail kepada Berita Harian Singapura.

Allahyarhamah yang mengidap demensi berada dalam keadaan tidak sihat dan dirawat di Hospital Besar Changi (CGH) sejak dua bulan lalu kerana masalah jantung, paru-paru dan ginjal.

Menurut anggota keluarga Mak Nona, jenazah dijangka dikebumikan pada 31 Julai dengan anggota keluarga dari Australia dijadualkan menziarahi.

Nama Nona Asiah merupakan pemberian P. Ramlee yang merupakan antara mentornya selain komposer lagu kebangsaan Majulah Singapura, Zubir Said.

Nona Asiah merakam dua lagu pertama ke piring hitam pada 1949 iaitu Ciumku Lagi (disesuaikan dari lagu Mexico yang malar segar Besame Mucho) dan Bunga Sakura (lagu Jepun) sebagai pembuka tirai kerjaya seninya.

Lagu yang mengetengahkan suara merdunya termasuk Chinta, Nasib, Nilam, Rachun Dunia, Hujan Panas dan Bujang Lapok.

Beliau ditawarkan sebagai penyanyi latar bagi filem keluaran Malay Film Production dan kemudian Cathay-Keris.

Di Malaysia, lagu Allahyarham yang terkenal seperti ‘Jikalau Abang Merindu, ‘Manusia Miskin Kaya’ dan ‘Cempaka Biru.

Selain bernyanyi dan menjadi guru nyanyian di Bengkel Kanak-Kanak dan rancangan Aksi Mat Yoyo, ibu kepada lima orang anak ini juga dikenali sebagai usahawan wanita yang cukup kreatif, selaku pereka busana fesyen ‘Seniati’ yang terkenal dan diminati ramai.

Antara pelanggannya ialah primadona Melayu seperti seniwati Saloma, Kartina Dahari, Siput Sarawak, Latifah Omar dan ramai lagi.- MalaysiaGazette