Gambar hiasan

KEDAH – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) membelanjakan sebanyak RM 22.8 juta bagi pembinaan Projek Cadangan Pembinaan Empangan Sabo serta kerja-kerja berkaitan fasa satu di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Inisiatif Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk menyediakan perlindungan segera untuk mengatasi kesan bencana banjir lumpur dan fenomena kepala air di Titi Hayun, daerah Kuala Muda dan di Tupah, di Yan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Petra berkata, pelaksanaan perlindungan segera di dalam fasa satu ini merangkumi pembinaan struktur sabo serta kerja-kerja berkaitan dan pembinaan dua buah struktur jambatan baharu yang melibatkan peruntukan sejumlah RM 48.71 juta.

“Daripada keseluruhan skop fasa satu, kontrak pembinaan dua buah struktur sabo serta kerja-kerja berkaitan telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah siap sepenuhnya.

“Sementara pembinaan dua buah struktur jambatan baharu dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masih berada di dalam pembinaan,” katanya.

Kedua-dua projek ini mengambil masa 18 bulan untuk proses rekabentuk sehingga penyiapan projek.

“Penyiapan projek ini dapat menghalang banjir puing dan arus deras ketika berlakunya kepala air dan banjir lumpur untuk mengelakkan berlakunya sebarang kemusnahan di kawasan hilir sungai serta menyelamatkan nyawa penduduk setempat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast