religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Syarikat arak didakwa lebih berminat untuk memberi sumbangan kepada sekolah Cina berbanding sekolah Tamil.

Pengerusi Urimai P. Ramasamy berkata, sekolah Tamil tidak akan menolak jika syarikat terbabit memberikan sumbangan.

“Dalam memperkatakan tentang kilang arak yang menderma kepada sekolah vernakular, rujukannya adalah kepada sekolah Cina dan bukannya sekolah Tamil.

“Bukannya sekolah Tamil menolak pembiayaan daripada kilang arak atau syarikat tembakau, tetapi syarikat ini lebih suka membantu sekolah Cina,” katanya dalam kenyataan.

Bekas pemimpin tinggi DAP itu berkata, oleh kerana itu adalah salah untuk meletakkan sekolah Tamil dan Cina dalam satu kategori sebagai penerima sumbangan syarikat arak.

Ramasamy berkata, sekolah Tamil tidak pernah mendapat sumbangan sama ada daripada syarikat arak mahupun tembakau.

“Walau bagaimanapun, adalah salah untuk menggabungkan semua sekolah vernakular, Cina dan Tamil, dalam satu kategori.

“Saya tidak fikir sekolah Tamil di negara ini menerima sumbangan daripada kilang arak atau syarikat tembakau.

“Walaupun beberapa dermawan memberikan sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah ini, tetapi bukan dari syarikat kontroversi ini,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, kebergantungan kewangan sekolah Tamil terhadap kerajaan jauh lebih tinggi berbanding sekolah Cina.

Ini kerana tidak seperti masyarakat Cina membantu sekolah Cina, orang India kekurangan kewangan untuk membantu sekolah Tamil.

Katanya, sekolah Tamil amat memerlukan dana daripada kerajaan dan swasta.

“Seperti sekolah Cina, ia adalah soal kelangsungan hidup. Tanpa pembiayaan daripada sektor swasta, kewujudan dan jangka hayat sekolah vernakular mungkin terjejas.

“Sekiranya kerajaan memandang serius terhadap sekolah vernakular, sekolah-sekolah ini perlu diberi pembiayaan sepenuhnya,” kata Ramasamy.

Beliau juga berkata, penentangan terhadap pembiayaan sekolah vernakular oleh kilang arak hanyalah alasan untuk mempersoalkan kewujudan sekolah terbabit.

Jelasnya, jika kerajaan membiayai sepenuhnya sekolah vernakular maka tidak ada keperluan untuk mereka menerima sumbangan daripada syarikat arak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast