KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengingatkan kerajaan bahawa kebebasan bersuara tertakluk dalam Perlembagaan dan tidak ada mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya boleh menafikannya berdasarkan politik semasa.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berharap kerajaan tidak mengenakan sekatan yang berlebihan dan mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Ujar beliau, pihaknya bimbang undang-undang baharu berkaitan pelesenan media sosial yang diperkenalkan kerajaan akan mengehadkan kebebasan bersuara terutama dalam kalangan pengamal media.
“Kita tidak mahu kerajaan mengambil kesempatan untuk memanipulasi undang-undang ini bagi mengehadkan ruang bersuara.
“Kerajaan perlu menjamin kebebasan bersuara rakyat, terutamanya media sebagai mata dan telinga rakyat bagi memastikan kerajaan mentadbir dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dominic, adalah tidak wajar undang-undang baharu digubal semata-mata untuk mengehadkan hak dan kebebasan bersuara rakyat.
Sedangkan, kata beliau, kerajaan boleh menggunakan undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang terlibat di mahkamah sekiranya terdapat unsur fitnah atau elemen yang mengancam ketenteraman awam yang disiarkan di media.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kerajaan Madani hari ini yang mana kerajaan sebelum 2018 juga berdepan dengan serangan `tentera siber’, namun tidak mengambil tindakan terhadap mereka walaupun berada dalam keadaan terancam.
“Tidak seperti sekarang, pengguna media sosial yang mempunyai pendapat yang berbeza dengan kerajaan akan dikenakan sekatan dan ini menunjukkan dasar ‘double standard’ oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Dominic turut menggesa Kerajaan Perpaduan menjelaskan mengapa agensi media rasmi, Bernama masih belum membuka ruangan komen di halaman Facebook mereka sehingga kini.
Ujar beliau, tindakan itu secara tidak langsung mengehadkan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai sesuatu laporan berita.
“Perlembagaan negara menjamin kebebasan bersuara, tetapi tindakan Bernama cenderung bersikap konservatif, mengapa takut dengan pendapat rakyat?” katanya. – MalaysiaGazette