Seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datin Hapizah Md Nawawi, 64 tahun, berdepan 18 pertuduhan di Mahkamah Sesyen menggunakan dokumen tuntutan bayaran gaji pembantu penyelidik bagi kerja-kerja penyelidikan yang mempunyai butiran palsu berjumlah RM38,000 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 31 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) berdepan 18 pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, kerana menggunakan dokumen tuntutan bayaran gaji pembantu penyelidik bagi kerja-kerja penyelidikan yang mempunyai butiran palsu berjumlah RM38,000.

Berdasarkan pertuduhan, Profesor Datin Hapizah Md Nawawi, 64,  antara 13 April 2021 hingga 11 Oktober 22 bersubahat dengan seorang wanita memperdaya empat individu untuk mengemukakan dokuman bertajuk Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI).

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah butir matan yang palsu atau mengikut yang lebih tinggi.

Hapizah mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan tersebut.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya Muaz, Ahmad Khairuddin mencadangkan supaya mahkamah menetapkan ikat jamin di antara RM20,000 hingga RM30,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela yang mewakilinya iaitu Shamsul Sulaiman berkata, Hapizah kini hanya berkhidmat sebagai pensyarah berstatus kontrak.

“Beliau bukan tertuduh yang berisiko. Beliau juga tidak boleh menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah kerana mempunyai banyak tugasan ke luar negara,” katanya ketika berhujah.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Lee Lai Soon mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan upah enumerator yang mempunyai butiran palsu melibatkan RM45,366.

Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 29 Oktober 2019 hingga 1 Jun 2022 dengan memperdaya lapan orang menggunakan satu set dokumen baucar bayaran bagi tuntutan upah enumerator yang mempunyai butiran palsu.

Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Lee Lai Soon, berdepan 20 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan upah enumerator yang mempunyai butiran palsu melibatkan RM45,366 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 31 JULAI 2024.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di Bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah beliau boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa yang sama Lee turut dituduh dengan 21 pertuduhan pilihan hari ini.

Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 kepada Hapizah manakala RM20,000 kepada Lee.

Tarikh sebutan dan pengurusan kes kedua-dua tertuduh itu ditetapkan pada 23 September 2024.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua mereka melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdekat dengan kediaman sekali sebulan. – MalaysiaGazette