KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melanjutkan tempoh Kempen Strukturkan Pinjaman Serendah RM300 khas untuk peminjam PTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Sri Norliza Abdul Rahim berkata, tujuan program ini dilanjutkan adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik serta merancang semula ansuran demi mencapai zero tunggakan.
“Peminjam yang mempunyai pinjaman PTPTN yang tertunggak dengan bayaran awal serendah RM300 dan membuat penstrukturan semula untuk memperbaiki rekod kredit peminjam.
“Tempoh pelanjutan ini selaras dengan pelaksanaan Kempen myPTPTN MUdah, Cepat & Selamat yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.
“Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan peminjam dan penjadualan semasa tempoh kempen ini.
“Hal ini secara tidak langsung akan memastikan para peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur,” tambahnya.
Tempoh kempen dilanjutkan daripada dua bulan yang berakhir pada 31 Julai 2024 sebelum ini kepada empat bulan iaitu bermula 1 Jun 2024 sehingga 30 September 2024.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kempen, sebarang rundingan bayaran balik atau penstrukturan semula pinjaman, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui laman web, media sosial atau talian rasmi. – MalaysiaGazette