Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu 12 premis yang berkaitan XFOX Market Sdn. Bhd. dan beberapa entiti lain di sekitar Lembah Klang.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, XFOX Market disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001

“Entiti ini sebelum ini sudah pun disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Jun 2023.

“Di bawah bidang kuasa BNM, sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

“Sabitan di bawah Seksyen 4(1) AMLA membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bersama-sama denda sekurang-kurangnya lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut BNM, dalam serbuan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan itu, beberapa dokumen berkaitan serta barang-barang yang diperlukan bagi membantu siasatan bersama dirampas.

Turut dirampas adalah aset yang terdiri daripada emas, wang tunai berjumlah melebihi RM4.85 juta termasuk sejumlah mata wang asing, mata wang kripto, kereta serta barangan mewah.

Sejumlah 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti deposit selamat (safe deposit box) juga dibekukan.

Katanya, serbuan itu adalah sebahagian daripada usaha bersama di antara agensi untuk terus membanteras jenayah kewangan di Malaysia.

Opeasi membabitkan Tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta dibantu oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah penyelarasan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC).

“Orang ramai digesa untuk terus berwaspada dengan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Pembabitan dalam mana-mana syarikat yang tidak berlesen atau tidak berdaftar boleh menyebabkan seseorang dianggap sebagai bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

BNM menjelaskan, orang ramai yang mahu mengetahui maklumat lanjut mengenai skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh BNM, boleh melayari halaman Tindakan Penguatkuasaan BNM.

“Anda dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan mana-mana peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi,” katanya.-MalaysiaGazette