Faridah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ahzan di rumahnya di Kampung Setanggi, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang duda retak tempurung kepala selepas diserang enam lelaki bersenjatakan cota besi dan topi keledar kerana menagih hutang RM300 daripada rakannya dalam kejadian di Kampung Setanggi di sini lebih dua minggu lalu.

Ibu mangsa, Norhayati A Razak, 53, berkata, kejadian berlaku kepada Mohd Ahzan yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berhampiran rumahnya pukul 5.10 petang pada 15 Julai lalu

Menurutnya, seorang daripada ahli keluarganya mahu keluar rumah terdengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong sebelum cuba meleraikan pergaduhan tetapi turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

“Terdapat enam lelaki termasuk seorang daripadanya bertopeng memukul Mohd Azhan menggunakan cota besi dan topi keledar. Akibat dibelasah teruk Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya serta terbaring.

“Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri dari lokasi dan kami membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Kami juga membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Majidee di sini sehari selepas itu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Wanita Ikon Johor merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah di kediamannya di sini hari ini.

Norhayati berkata, akibat kejadian tersebut, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan terutama di bahagian kepala termasuk bagi mengeluarkan tempurung kepala yang retak.

Menurutnya, urat kepala Mohd Ahzan juga bengkak selain daya penglihatan mata kirinya terjejas akibat kecederaan parah dialami di bahagian kepala.

“Buat masa ini tempurung kepalanya masih tidak dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor meramalkan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat antara enam hingga setahun manakala paling lama antara setahun hingga empat tahun.

Dia kesal kerana anaknya itu yang cuba membantu rakan dengan meminjamkan wang atas dasar simpati namun diperlakukan sedemikian rupa.

Katanya, beberapa hari sebelum insiden tersebut rakan anaknya itu datang ke rumah meminjam wang dan berjanji mahu memulangkannya selepas mendapat gaji.

Malangnya, kata Norhayati, rakannya tidak mengotakan janji apabila sudah mendapat gaji dan keadaan itu membuatkan Mohd Ahzan tiada wang untuk membeli susu anaknya.

Apabila anaknya itu terus menagih hutang, rakan Mohd Ahzan tersebut marah sebelum berlaku kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu tangkapan juga sudah dilakukan.- MalaysiaGazette