KUALA LUMPUR – Hampir 100 perusahaan yang terlibat dengan sebarang aktiviti kartel di dalam mana-mana pasaran telah dikenakan penalti kewangan lebih RM570 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, MyCC sedang giat menjalankan aktiviti penyiasatan ke atas 18 kes kartel melibatkan lebih 500 perusahaan.
“Sebanyak 14 daripada 18 kes tersebut merupakan penyiasatan terhadap aktiviti kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan dengan jumlah nilai kumulatif melebihi RM3.3 billion,” jelasnya dalam jawapan lisan di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Tambah KPDN, bagi memastikan penguatkuasaan efektif dan efisien, pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
“Ia bagi memperkenalkan Rejim Kawalan Penggabungan selain memperkukuhkan kuasa dan fungsi MyCC dalam penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap kartel.
“Rejim ini antara mekanisme awal yang terbukti berkesan untuk menghentikan perusahaan menggunakan transaksi penggabungan atau pengambilalihan pesaing mereka dengan tujuan untuk membentuk kartel.
“Pindaan tersebut dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini,” jelasnya.
KPDN berkata demikian semalam bagi menjawab pertanyaan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu sejauh mana peranan diambil MyCC dalam mengesan, membendung dan mencegah kegiatan kartel dalam kalangan pengusaha industri kecil dan besar di negara ini. – MalaysiaGazette