Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Umat Islam kehilangan seorang ‘pembela’ berikutan pembunuhan pejuang Palestin Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, masjid negeri itu akan mengadakan solat ghaib kepada jenazah Ismail.

“Dunia kehilangan pejuang dan umat kehilangan pembela. Perlis insya-Allah akan menggalakkan masjid-masjid di negeri ini solat ghaib. Surat rasmi akan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Asri  pernah bertemu dengan pemimpin kanan Hamas tersebut di rumahnya di Gaza, Palestin.

“Berita kematian pejuang Ismail Haniyeh amat mendukacitakan. Semasa di Airport Doha, Qatar semalam, kami berlepas dari bangunan VVIP dan dimaklumkan bahawa beliau ada di bilik sebelah.

“Tidak sempat bertemu. Barangkali beliau berangkat ke Tehran. Saya pernah bertemu dengan beliau di rumahnya di Gaza,” katanya.

Haniyeh yang merupakan ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran.

Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan Haniyeh dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan, Haniyeh terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya.

Kenyataan sama menambah siasatan berhubung pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas itu akan diumumkan tidak lama lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast