KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang berada di Iran mengutuk pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh hari ini.
Johari yang tiba di Tehran pada Isnin lalu bagi menghadiri majlis pelantikan Masoud Pezeshkian sebagai Presiden Iran menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya mengucapkan takziah kepada rakyat Palestin atas gugur syahidnya Ismail Haniyeh, Pemimpin Hamas dan pengawal peribadinya yang terbunuh dalam serbuan rejim zionis di kediamannya di Tehran.
“Dewan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan keganasan ini. Saya menyatakan solidariti dan kebersamaan saya dengan rakyat Palestin dan mendoakan agar penindasan terhadap rakyat Palestin dihentikan serta-merta. Al-Fatihah,” katanya.
Wisma Putra sebelum itu mengesahkan Johari selamat susulan pembunuhan Haniyeh di rumahnya di Tehran hari ini.
“Ya kami sahkan Johari selamat dan akan meninggalkan Iran malam ini,” kata Wisma Putra.
Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan Israel menyerang kediaman Ismail di Tehran sehingga menyebabkan beliau dan seorang pegawainya syahid.- MalaysiaGazette