KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran.
Jurucakap Kerajaan, Fahim Fadzil berkata, Kabinet bersolidariti bersama dengan rakyat Palestin susulan pembunuhan Haniyeh, hari ini.
“Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya dalam kenyataan.
Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu kota Iran pada Rabu, di tengah-tengah Perang Gaza yang berlarutan selama lebih 10 bulan.
Pengumuman itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan turut mengesahkan salah seorang pengawal peribadi beliau terbunuh ketika kediaman mereka digempur Israel, malah perkara itu disahkan gerakan Hamas.
Difahamkan, pemimpin pejuang bumi Gaza itu berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan untuk menggantikan Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada Mei lalu. – MalaysiaGazette