KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyangkal kenyataan bekas pemimpin gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, S. Ambiga yang menyifatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah `kerajaan paling diktator’.
Menurut Muhammad Faisal, beliau memahami kekecewaan Ambiga berkenaan pelaksanaan reformasi yang perlahan dan sentimennya turut dikongsi pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Bersih.
“Namun, untuk menyatakan kerajaan hari ini paling diktator dilihat agak keterlaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti yang dilaporkan portal berita MalaysiaKini.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal turut membangkitkan detik-detik penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan termasuk ketika Operasi Lalang dan era Reformasi.
Selain itu, beliau turut membangkitkan krisis perlembagaan 1988 yang membawa kepada pindaan undang-undang yang mengurangkan kuasa kehakiman.
“Dalam isu terbaru, bila kerajaan berhasrat untuk mengenakan undang-undang pelesenan kepada platform media sosial, Bersih sendiri menegaskan ia langkah yang berpotensi membawa kepada senjata politik dan ia tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa,” katanya.
Muhammad Faisal dipetik lagi sebagai berkata, mana-mana kerajaan termasuk kerajaan semasa boleh menjadi diktator jika masyarakat sivil tidak bersuara untuk mendesak reformasi dilaksanakan.
“Tanpa reformasi sudah pasti demokrasi akan menguncup, malah akan menjadi regresif.
“Begitu juga tanpa demokrasi ia akan menutup ruang reformasi berasaskan aspirasi suara keramat rakyat untuk dilaksanakan.
“Justeru, perjuangan menuntut reformasi dan demokrasi harus beriringan menyedari keserasian hubungan kedua-duanya yang saling memberdaya antara satu sama lain,” katanya seperti dilaporkan portal berita terbabit.
Media sebelum ini melaporkan, Ambiga menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai paling diktakor dalam sejarah pemerintahan negara.
Peguam tersebut meluahkan rasa kesal apabila kerajaan bukan sahaja tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 tetapi sebaliknya memperkenalkan perlesenan baharu.
“Saya tidak pernah terfikir akan melihat hari apabila kerajaan pimpinan PH yang hidup di atas platform memperjuangkan pemansuhan PPPA sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baru.
“Kerajaan Perpaduan kini kami boleh nobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada. Syabas!” kata Ambiga di X. – MalaysiaGazette