KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel membunuh Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia satu bentuk asasinasi pengecut dari zionis yang seharusnya dibalas dengan tindakan tegas.
“Pembunuhan ini sama sekali tidak akan mengurangkan semangat pejuang Hamas serta mereka yang turut serta dalam solidariti memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
“Ini merupakan satu perbuatan yang lazim di mana Israel akan melancarkan operasi asasinasi bersasar ke atas pemimpin Hamas di seluruh dunia.
“Kami percaya tindakan Israel ini semestinya akan menerima tindak balas daripada Hamas,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, Ismail sudah bersedia untuk melakukan gencatan senjata di Gaza tetapi sikap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan seluruh Kabinet perang Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat jelas menunjukkan keazaman mereka untuk meneruskan genosid dan pembunuhan pemimpin bersasar.
“Israel telah menghalalkan semua cara termasuk menyerang musuh di negara asing. Kini rejim zionis bukan sahaja sedang bermusuhan dengan pelbagai negara malahan mendedahkan diri kepada tindak balas kumpulan yang tidak bersetuju dengan keganasan Israel.
“Dengan ini, kami menuntut pemimpin Islam dunia untuk tidak mendiamkan diri kerana sudah tiba masanya untuk Israel menerima hukuman yang keras terhadap jenayah dilakukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette