LANGKAH kerajaan memperkenalkan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi yang perlu dipohon oleh semua platform media sosial dan pesanan online yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna bermula bulan depan mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak.
Ada yang menilai langkah itu sebagai percubaan menggunakan agensi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat khususnya menerusi platform media sosial.
Namun, tidak kurang juga yang memuji dasar baharu itu yang dianggap tepat pada masanya ketika jenayah alam siber dilaporkan terus meningkat di negara ini.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu ini, MalaysiaGazette mendapatkan pandangan daripada Pensyarah Kanan yang juga Pengerusi Rancangan Pra Siswazah Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr B. Rani Ann.
Untuk rekod, Dr. Rani Ann juga merupakan antara individu yang terlibat dalam merangka Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan awal tahun ini.
MG: Bagaimana Dr. melihat langkah kerajaan memperkenalkan pelesenan baharu digital? Adakah ia keperluan mendesak ketika ini?
Dr. Rani Ann: Saya tidak pasti sama ada ini adalah satu keperluan yang mendesak, tetapi saya rasakan ini adalah satu langkah yang perlu dibuat dan seharusnya telah dibuat oleh kerajaan sejak dulu lagi. Tindakan kerajaan ini hanya menyasarkan pengendali media dan bukan masyarakat.
Bila pengendali media ini diberikan lesen, mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap bahan yang dimuat naik dalam platform mereka kerana meraka harus memperbahruai lesen platform media sosial mereka setiap tahun.
Langkah ini juga boleh kurangkan banyak masalah terutamanya masalah buli siber yang menjadi satu isu besar di Malaysia sekarang.
MG: Adakah menyekat atau mengawal kebebasan di media sosial ini langkah tepat dalam dunia tanpa sempadan hari ini?
Dr. Rani Ann: Internet dan media sosial sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan sekarang. Satu kajian yang disiarkan dalam Wion News menyatakan Malaysia berada di tempat kedua bagi negara yang paling banyak menggunakan platform media sosial di dunia.
Bagaimanapun, isu menyekat atau mengawal kebebasan di media sosial di Malaysia adalah topik yang kompleks dan memerlukan pertimbangan dari pelbagai sudut termasuk keselamatan negara, isu perpaduan kaum, isu agama, impak kepada ekonomi dan sebagainya.
Tindakan menyekat kebebasan media sosial juga boleh menyebabkan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan jika mereka merasa hak mereka diabaikan.
Keterbukaan yang menjadi sebab dan alasan kerajaan mengambil satu-satu langkah itu adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan ini.
Keputusan untuk menyekat atau mengawal kebebasan di media sosial perlu dilakukan dengan berhati-hati dan seimbang. Pada akhirnya, hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya harus diberikan pertimbangan yang sangat teliti.
MG: Tetapi ramai yang menentang kerana dikatakan menghalang hak bersuara dan kebebasan media?
Dr. Rani Ann: Langkah ini hanya melibatkan pengendali sahaja, bukan pengguna. Kalau pengguna itu menggunakan media sosial dan internet dengan berhemat, tak perlu takut pun.
Tak ada siapa pun akan sekat mereka. Sebenarnya walaupun kita merupakan sebuah negara demokrasi dan berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara tetapi terlalu bebas pun boleh terbabas. Kebebasan bersuara yang keterlaluan adalah tidak sesuai untuk negara kita yang berbilang kaum ini.
Hendak bersuara pun seharusnya bersuara dengan bijak dan profesional. Bukan hentam sana sini dan menjadi samseng di media sosial.
MG: Adakah situasi buli siber di negara kita terlalu serius sehingga memerlukan dasar baharu?
Dr. Rani Ann: Harus diingat bahawa Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pernah menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.
Sekarang perbuatan buli netizen di negara ini menjadi lebih parah hingga membawa kepada kematian individu dan kerugian jutaan ringgit. Jadi kerajaan `dipaksa’ untuk mengambil langkah seperti ini untuk keselamatan semua pihak.
Sebenarnya, netizen yang tidak beretika semasa menggunakan media sosial sehingga kerajaan terpaksa campur tangan dan mengambil langkah-langkah seperti ini.
MG: Mungkin ada pendekatan lebih baik dalam menangani jenayah siber berbanding mengawal kebebasan media sosial?
Dr. Rani Ann: Bukan semua perkara atau langkah harus diambil oleh kerajaan sebenarnya. Rakyat sendiri perlu mempunyai kesedaran dan etika dalam menggunakan media sosial. Mereka harus tahu apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan dalam media sosial.
Rakyat juga harus sedar hak mereka jika berlaku kejadian yang tidak diingini ke atas mereka melalui media sosial. Rakyat harus berani bersuara dan pertahankan hak mereka.
Seperti ada individu yang menyaman seorang pempengaruh kerana membuat body shaming terhadapnya baru-baru ini. Ini menunjukkan mangsa itu mengetahui haknya dan mempertahankannya.
Begitu juga dalam kes ibu bapa kepada adik Zayn Rayyan yang memohon perintah larangan bersuara atau gag order daripada mahkamah terhadap lima pemilik akaun TikTok yang dikatakan membuli mereka.
Semakin ramai masyarakat mengetahui hak mereka dan bertindak, semakin banyak isu berkaitan aktiviti negatif alam siber dapat dihentikan. – MalaysiaGazette